SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 121 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tiga warga tempatan menerusi Operasi Penguatkuasaan Imigresen, di sini hari ini.
Dalam operasi berkenaan, semua yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen manakala tiga lagi warga tempatan disyaki terbabkt mengikut Seksyen 55(B).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Sabah, Jafri Embok Taha berkata, seramai 219 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama dua hari bermula semalam.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 121 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, manakala tiga lagi warga tempatan disyaki terbabit mengikut Seksyen 55(B).
“Semua yang ditahan berusia antara 12 bulan hingga 65 tahun terdiri daripada 46 orang lelaki, 36 wanita dan 32 kanak-kanak.
“Tangkapan terbabit akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketika operasi dijalankan, terdapat warga asing cuba melarikan diri.
Bagaimanapun katanya, semua mereka berjaya ditahan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya berterima kasih kepada semua 64 anggota dan pegawai JIM Sandakan yang terbabit dalam operasi ini sehingga berjaya menahan individu yang melakukan kesalahan imigresen,” katanya. – Info X