Search

JKDM tidak wajar dilaksanakan di Sabah – PH Sabah

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menegaskan pendiriannya bahawa Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenal dan dilaksanakan di Sabah.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Majlis Pimpinan PH Sabah sebulat suara menyatakan bahawa Sabah mempunyai kuasa autonomi untuk melantik dan mengurus pentadbiran kampung.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.

“Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar itu yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya,” katanya.

Majlis Pimpinan PH Sabah berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.

“Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersoalkan kewajaran penubuhan JKDM di negeri ini berikutan sudah ada JKKK di setiap kampung.

Penubuhan JKDM dilaksanakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – Info X