KOTA KINABALU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang kanak-kanak perempuan kini berusia tujuh, yang ditinggalkan ibu kandungnya kepada seorang wanita, pada 19 Oktober 2017 lalu.
Kanak-kanak perempuan Marlinah Abdullah ditinggalkan oleh ibu kandungnya dikenali sebagai Roaini kepada Jalma@Alus Awang Jalil ketika Marlinah berusia setahun di gerai sayur di Pekan Beluran.
Marlinah dirujuk kepada Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Beluran pada 19 Mac 2024 oleh Jalma dan suaminya berhubung satu kes penjagaan seorang kanak-kanak yang kini sedang berada di dalam jagaan mereka sejak Marlinah berusia satu tahun.
Menerusi kenyataan rasmi laman sosial Facebook JKM Sabah hari ini berkata, berdasarkan kepada maklumat daripada pengadu iaitu Jalma, wanita dikenali sebagai Roaini datang ke gerai sayur milik Jalma di No 4 Pekan Beluran, kira-kira 9 pagi, 19 Oktober 2017 lalu.
Katanya, Roaini telah meninggalkan anak perempuannya iaitu Marlinah buat sementara waktu.
Namun katanya, sehingga tarikh laporan polis dibuat Jalma iaitu pada 2 Oktober 2019, ibu mahupun waris kepada Marlinah tidak pernah datang menuntut anaknya.
“Jalma telah cuba untuk menghubungi nombor telefon bimbit yang ditinggalkan oleh Roaini namun gagal.
“Marlinah kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Jalma dan Muhammad Ismail melalui Perintah Jagaan Sementara mengikut SubSeksyen 19(2) Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016),” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya memohon mana-mana pihak yang mengenali ibu kandung atau waris kepada Marlinah untuk tampil ke Pejabat Kebajikan Daerah Beluran.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Daerah Beluran, Mohd Hafiz Ahmad di talian 089-518301 (0).
“Ini bagi membantu jabatan mengesan ibu kandung atau waris dan seterusnya membuat keputusan terbaik bagi penempatan dan Kebajikan Marlinah,” katanya. – Info X