KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius kes membabitkan seorang remaja meninggal dunia akibat denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.
Pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya memandang serius kes itu dan satu siasatan menyeluruh dan telus kini sedang dijalankan.
Katanya, siasatan awal telah dilaksanakan oleh JKNS dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.
Beliau berkata, pesakit terbabit didapati telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran sebanyak dua kali iaitu pada 25 dan 28 Disember 2023.
“Pesakit berkenaan merupakan seorang warganegara lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Bulieng, Tuaran dan telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran pada jam 11.23 pagi, 25 Disember lalu dengan gejala sakit ulu hati (‘epigastric pain‘) dan muntah-muntah selama satu hari.
“Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas. Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal.
“Pesakit ini telah diberi rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.
“Pesakit kemudian telah dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Asits berkata, pesakit terbabit kemudian telah datang semula ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember 2023, jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.
Katanya, pesakit itu kemudian telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit Denggi pada kedatangan kali kedua ini.
“Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit telah dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi pada hari yang sama.
“Namun demikian, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), QEH pada hari berikutnya,” katanya.
Beliau berkata, pihak JKNS kini dalam proses untuk mengenalpasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat di Sabah.
Katanya, JKNS sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.
“Kini, Hospital Tuaran telah mempunyai empat orang pakar yang bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua orang pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan,” katanya lagi. – Info X