Search

JPJ Sabah kesan lima pemandu perdagangan positif syabu

July 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai lima pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah selepas menjalani saringan air kencing dalam Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi penguatkuasaan lain itu bertujuan memastikan pemandu kenderaan perdagangan bebas daripada penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya demi keselamatan pengguna.

Beliau berkata, sepanjang operasi bermula 1 Julai lalu, seramai 60 pemandu menjalani saringan awal air kencing oleh AADK dengan lima daripadanya didapati positif methamphetamine atau syabu.

“Pemandu yang disahkan positif akan dikenakan tindakan termasuk penahanan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (LV) sehingga siasatan serta tindakan AADK selesai.

“Lesen Vokasional akan digantung selama tiga bulan, manakala tindakan menggantung CDL boleh dilaksanakan sekiranya pemandu disabitkan kesalahan atau ditempatkan di pusat pemulihan selepas laporan rasmi AADK diterima,” katanya.

Menurutnya, syarikat pengangkutan yang gagal memastikan pemandu mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah turut berdepan tindakan mengikut syarat pelesenan, termasuk cadangan penggantungan Lesen Pengendali selepas AADK mengesahkan pemandu terbabit positif dadah dan proses pendakwaan di mahkamah selesai.

Beliau berkata, operasi berkenaan memberi tumpuan di lokasi strategik seperti jalan raya, Stesen Pemeriksaan Komputer (SPK) dan terminal bas membabitkan pemandu kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam serta kenderaan pelancongan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Harris berkata, Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan dari 16 Jun hingga 6 Julai merekodkan sebanyak 3,941 kenderaan diperiksa, dengan 218 kenderaan diambil tindakan, 28 disita dan 588 notis saman dikeluarkan.

Beliau menegaskan JPJ Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang memandu di bawah pengaruh dadah dan akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa bagi memastikan jalan raya lebih selamat serta meningkatkan integriti industri pengangkutan negara. – Info X