Search

JSJN gempur rumah atas air, lelaki disyaki pengedar ditahan bersama syabu RM24,000

October 6, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki warga Filipina disyaki pengedar dadah ditahan polis selepas serbuan di sebuah rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau, di sini, menemui dadah jenis syabu seberat lebih setengah kilogram bernilai kira-kira RM24,000, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Semporna kira-kira jam 3.30 petang, hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, ketika serbuan dijalankan, pasukan polis terpaksa memecahkan pintu rumah sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 40 tahun menyerahkan sendiri sebuah beg silang warna coklat miliknya.

“Pemeriksaan ke atas beg itu menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi 13 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 509.09 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing turut dijalankan terhadap suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek mengaku dadah berkenaan miliknya dan diperoleh daripada seorang individu. Suspek juga mengaku kali pertama terbabit dalam pengedaran dadah atas arahan individu sama, yang meletakkan harga RM24,000 bagi 500 gram dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Usaha mengesan rangkaian lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini sedang giat dijalankan.

“JSJN Sabah akan terus menggempur pengedar dan rangkaian pengedaran dadah di seluruh negeri, selain menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan,” katanya. – Info X