Search

Jualan rahmah kembali ke sekolah bermula 20 Disember hingga 11 Januari – Armizan

December 14, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Kembali Ke Sekolah bakal diadakan bermula 20 Disember ini hingga 11 Januari depan.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bagi membantu meringankan beban keluarga membeli kelengkapan sekolah anak-anak.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program sepanjang tempoh cuti persekolahan itu dilaksanakan dengan kerjasama 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian melalui pelaksanaan secara dalam premis dan luar premis.

“Bersempena dengan persediaan sesi persekolahan baharu 2026, KPDN akan memperluas pelaksanaan PJRM melalui penganjuran PJRM Kembali ke Sekolah 2026.

“Program ini dijadualkan bermula pada 20 Disember 2025 sehingga 11 Januari 2026, iaitu sepanjang tempoh cuti persekolahan.

“Sebanyak 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat melalui pelaksanaan secara dalam premis dan luar premis.

“Pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Armizan pada program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani di Tawau.

“Terdapat 45 sehingga 80 Stock Keeping Unit (SKU) ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Program Sentuhan Kasih Madani, di Servay Hypermarket, di sini, pada Sabtu.

Armizan berkata sebanyak 269 siri PJRM Kembali ke Sekolah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara sepanjang cuti sekolah nanti.

“Orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jual n-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi PJRM Kembali ke Sekolah yang akan dianjurkan,” katanya.

Armizan berkata, sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan insiatif Payung RAHMAH di bawah KPDN.

“Ini termasuk penganjuran Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di seluruh negara. Sehubungan itu, KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuklah penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada,” katanya. – Info X