KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) Sabah melancarkan Jualan Rahmah Krismas menerusi 99 Speed Mart (Malaysia Timur) Sdn Bhd bertempat di Outlet 99 Speed Mart, 1Borneo Hypermall Kota Kinabalu, hari ini.
Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, inisiatif Jualan Rahmah Krismas ini dilaksanakan di kesemua 231 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negeri dan dijalankan selama 26 hari bermula esok, 9 Disember sehingga 3 Januari tahun hadapan.
“Jualan ini melibatkan 36 jenis item pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, tepung, air minuman, serbuk pencuci, minyak masak botol lima kilogram, minuman jenama pek milo satu kilogram.
“Barangan lain masing-masing ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga jualan sedia ada,” katanya ketika pelancaran Jualan Rahmah Krismas, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar (Malaysia Timur) Foo Meng Keet, dan Pengurus Kanan Operasi Cawangan (Malaysia Timur) Lim Yu Kiun.
Georgie berkata inisiatif 99 Speed Mart (Malaysia Timur) Sdn Bhd ini adalah Jualan Rahmah buat kali kedua yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart bagi tahun ini selepas Jualan Rahmah sempena Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.
“KPDN melihat tambahan diskaun bagi Jualan Rahmah Krismas yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart ini sebagai tawaran yang berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Sabah seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
“Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut Hari Krismas yang bakal tiba,” katanya.

Beliau berkata KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Sabah dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu kini.
“Pada masa sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.
“Kita juga berharap usaha seperti ini mampu menarik perhatian pengguna di Sabah, khususnya golongan berpendapatan rendah melalui kerjasama rakan strategik yang terlibat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan.
“Setinggi penghargaan kepada 99 Speed Mart (Malaysia Timur) Sdn. Bhd dengan inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan selain meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah,” katanya.
Beliau juga mengharapkan agar lebih
banyak pemain industri lain akan turut sama melaksanakan inisiatif seumpama. – Info X