Search

Juan Torres pengendali baharu Sabah FC

February 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC haru ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Jurulatih Skuad B-23 Kebangsaan, Juan Torres Garrido, sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan itu.

Pelantikan pengendali kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy, menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Arziz berkata, Juan akan mengambil alih tugas daripada Alto Linus yang sebelum ini menggalas peranan sebagai pemangku Ketua Jurulatih berikutan peletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu.

Selaras dengan pelantikan pengendali baharu Sang Badak itu, Alto kini kembali menjalankan tugas sebagai Penolong Ketua Jurulatih.

“Juan Torres akan memulakan tugas rasminya pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Sabtu ini,” katanya.

Arziz berkata, pengalaman Juan mengendalikan Skuad B-23 negara serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi antara faktor utama pemilihannya.

Beliau percaya kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

“Fokus utama kita adalah untuk mara ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup 2025-2026,” katanya.

Dalam pada itu, Arziz turut berharap pemain dapat memberi komitmen sepenuhnya, menunjukkan disiplin tinggi dan cepat menyesuaikan diri dengan pendekatan latihan yang diperkenalkan.

“Dengan semangat berpasukan yang kukuh dan kesungguhan semua pihak, saya yakin Sabah FC mampu mencapai keputusan yang lebih baik selepas ini,” katanya. – Info X