Search

Jumlah mangsa banjir dipindah kekal 513 orang

January 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kekal seramai 513 orang, setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah itu membabitkan 177 keluarga daripada tiga daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Beaufort mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 338 orang membabitkan 120 keluarga diikuti Kota Kinabalu yang mencatat 158 mangsa membabitkan 53 keluarga serta 17 mangsa di Kota Belud, membabitkan empat keluarga.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sebanyak tiga PPS dibuka, masing-masing di tiga daerah berkenaan.

Di Beaufort, kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon manakala di Kota Kinabalu, mangsa ditempatkan di PPS Dewan Masjid Al-Munir Kampung Darau dan di Kota Belud, mangsa terjejas ditempatkan di Dewan Kampung Lentigi.

Setakat ini juga, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu itu. – Info X