KOTA KINABALU: Tindakan seorang juragan membawa penumpang melebihi had dan tidak menyediakan jaket keselamatan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.
Bot yang membawa 13 penumpang itu ditahan APMM Kota Kinabalu di posisi 0.28 batu nautika Barat Tanjung Logong, Pulau Gaya, di sini, jam 12 tengah hari.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan Operasi Preventive Search and Rescue (SAR) di sekitar perairan Kota Kinabalu menahan bot penumpang yang membawa lebih muatan.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati juragan warga tempatan berusia 31 tahun itu turut mengabaikan keselamatan 13 penumpang dengan tidak menyediakan jaket keselamatan.
“Bot dan juragan dibawa masuk ke Jeti APMM untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengingatkan kepada semua pengusaha bot penumpang supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan penumpang terutama di musim cuaca buruk.
Katanya, APMM juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pegawai penguat kuasa maritim. – Info X