Search

K-KOMM LAKSANA KAJIAN TIGA TEKNOLOGI TERKINI SEDIA PERKHIDMATAN JALUR LEBAR KAWASAN PEDALAMAN

June 3, 2022

admin

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan kementeriannya sedang mengkaji penggunaan tiga jenis teknologi terkini bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan kabel optik.

“Tiga teknologi yang sedang dalam peringkat penelitian itu ialah Satelit Low Earth Orbit (LEO), Radio Access Network dan TV White Space.

“Kementerian menggunakan kemudahan Satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) untuk menyediakan liputan jalur lebar di kawasan terpencil seluruh negara.

“Penggunaan teknologi terkini itu bagi memastikan tiada kawasan tercicir daripada liputan internet atau teknologi digital terutama menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Bagi kawasan pedalaman yang tidak sampai di bawah program JENDELA biasa, kita meneliti teknologi yang ada. Selain 839 kawasan menggunakan teknologi satelit VSAT, kita juga meneliti beberapa teknologi terkini untuk pastikan jalur lebar sampai di kawasan terpencil.

“Antaranya LEO (Low Earth Orbit), Radio Access Network dan TV White Space. Kita sedang kaji tiga teknologi ini untuk beri kemudahan jalur lebar di kawasan terpencil tanpa perlu menunggu kabel optik siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK) Bil 1/2022, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan.

Sementara itu, Annuar menyatakan liputan rangkaian 4G di Sabah kini mencapai 86.9 peratus bagi kawasan berpenduduk di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, peratusan itu hanya merujuk kepada jangkauan liputan dan bukannya kualiti perkhidmatan, berikutan masih ada kawasan yang rendah kadar liputannya terutama apabila ramai pengguna.

“Contohnya, apabila ramai balik kampung sempena Kaamatan atau Hari Raya, penggunaan 4G di sesuatu kawasan itu meningkat menyebabkan kekuatan liputannya menguncup, malah bertukar menjadi tiada liputan,” katanya. – Info X