Search

Kaamatan landasan terbaik kukuhkan perpaduan

May 8, 2024

Info X Reporters

TAMPARULI: Sambutan Kaamatan kekal menjadi landasan terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dan persahabatan dalam kalangan masyarakat luar bandar negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan kaum perlu bersama-sama meningkatkan perpaduan dan menghormati antara satu sama lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu juga mengingatkan agar rakyat negeri ini tidak mudah dipengaruhi elemen jahat yang boleh menjejaskan perpaduan dikecapi mereka sejak sekian lama.

“Paling penting sokongan rakyat kepada kerajaan tidak goyah supaya pembangunan dapat terus dilaksanakan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tuaran, di Dewan Tun Hamdan, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah isteri Hajiji, Datin Seri Juliah Salag; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga ADUN Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong semua perayaan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini memandangkan keunikan tradisi dan budaya adalah aset penting rakyat.

Sementara itu, beliau menggesa semua wakil rakyat sentiasa turun padang untuk mendekati rakyat akar umbi di kawasan masing-masing untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Jangan tunggu sehingga masalah timbul, sebaliknya kita kena sentiasa mendekati rakyat, begitu juga Pegawai Daerah dan kakitangan di jabatan berkaitan mesti juga proaktif melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Mengenai sambutan Kaamatan, Hajiji berkata tema perayaan itu pada tahun ini, Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keterjaminan makanan Sabah.

Jelasnya, ia juga sebagai peringatan kepada semua pihak untuk bekerja keras meningkatkan hasil dan mengekalkan sumber makanan negeri.

Katanya, kerajaan negeri komited mengukuhkan hasil pertanian khususnya tahap sara diri (SSL) tanaman padi.

“Selain menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah, saya berharap mereka yang mempunyai tanah yang luas termasuk sawah padi terbiar akan membangunkan tanah mereka.

“Kerajaan turut menyediakan beberapa insentif, khususnya bagi penanaman padi pada tahun ini,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan anugerah Tokoh Kaamatan kepada lima kategori penerima. – Info X