Search

Kadzim dilantik semula sebagai Speaker DUN

October 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Khidmat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya disambung semula setelah genap lima tahun pada 1 Oktober 2025.

Beliau dilantik semula ke jawatan itu untuk tempoh lima tahun lagi dan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Kadzim dilantik ke jawatan itu pada 1 Oktober 2020 menggantikan Datuk Syed Abas Syed Ali.

Majlis angkat sumpah Speaker di hadapan Tun Musa berlangsung pada jam 10.45 pagi pada Khamis sebelum Kadzim menandatangani watikah pelantikan disaksikan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Azizah Nawawi di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.

Kadzim menerima watikah pelantikan Speaker DUN daripada Tun Musa.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salah serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam dan Mufti Kerajaan Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Kadzim mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN bagi tempoh lima tahun lagi.

Kadzim berkelulusan Diploma Pentadbiran Awam (UiTM) Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian Bachelor of Law (LLB) Council for National Academic Awards (CNAA) di United Kingdom dan menerima Certificate Legal Practice (CLP) Malaysian Qualifying Board.

Karier beliau bermula sebagai Pegawai Kerja, Bahagian Latihan dan Kerjaya di Jabatan Ketua Menteri pada 1981, diikuti Pembantu Undang-undang di Tetuan Ghani & Co (1986 – 1987), kemudian bertugas sebagai Pegawai Undang-undang Ko-Nelayan (1987 – 1990), Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah (1991 – 2020) dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-pelabuhan Sabah (2008-2018. – Info X