Search

Kaki tersepit jeriji longkang ketika melintas jalan

May 29, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang remaja lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kakinya tersepit pada jeriji besi longkang ketika melintas jalan di hadapan sebuah premis di Pekan Tuaran, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 19 tahun mengalami kecederaan pada kaki sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.04 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kaki mangsa tersepit pada jeriji besi longkang ketika melintas jalan.

“Pasukan kemudian menjalankan penilaian awal sebelum menggunakan peralatan khas penyelamatan (rescue tool) bagi membuka jeriji besi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.36 petang,” katanya. – Info X