KOTA KINABALU: Kebakaran besar yang meranapkan kira-kira 1,000 rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan pada Ahad wajar dijadikan peringatan mengenai keperluan melaksanakan pembaharuan menyeluruh terhadap penempatan kampung air di negeri ini.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah, berkata insiden itu bukan saja membawa kemusnahan, malah menyebabkan penderitaan besar yang ditanggung mangsa apabila kehilangan tempat tinggal dan harta benda dalam sekelip mata.
“Saya melihat gambar dan video kebakaran di Kampung Bahagia, amat memilukan. Sebanyak 1,000 rumah musnah. Ini bukan hanya sebuah angka, tetapi fakta banyaknya linangan air mata dan hati yang remuk hilang segalanya. Saya bersimpati,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mengulas tindakan kerajaan negeri, Aksyah berkata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan ciri kepimpinan sebenar apabila bertindak pantas menggerakkan jentera kerajaan bagi membantu mangsa yang terjejas.
Menurutnya, tindakan segera itu membuktikan peranan seorang pemimpin bukan hanya mengeluarkan kenyataan, tetapi hadir ketika rakyat berada dalam kesusahan.
“Beliau bertindak bukan sekadar kata-kata, tetapi perintah. Jentera kerajaan digerakkan serta-merta. Pada saya, itulah gambaran tanggungjawab seorang pemimpin hadir ketika rakyat menanggung derita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegur pihak yang terus menuding jari dan menyalahkan pasukan bomba susulan tragedi berkenaan, termasuk dakwaan kelewatan operasi serta masalah bekalan air ketika usaha memadam kebakaran dijalankan.
Katanya, sikap hanya mencari kesalahan tidak akan membantu membina semula kediaman yang musnah atau mengurangkan penderitaan mangsa.
“Semua dakwaan negatif itu tidak akan mampu membina semula rumah yang sudah hangus. Ia tidak akan merawat luka rakyat,” katanya.
Aksyah berkata, bantuan selepas bencana sememangnya penting, namun langkah itu hanya bersifat sementara jika punca sebenar tidak ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata, sistem penempatan kampung air yang tidak terancang perlu diberi perhatian serius kerana ia sudah lama menjadi ancaman keselamatan kepada penduduk.
Menurutnya, usaha membina semula penempatan lebih teratur memerlukan keberanian politik, perancangan rapi serta visi jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerajaan pimpinan Hajiji mempunyai asas kewangan dan iltizam politik untuk merealisasikan agenda pembangunan menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Katanya, peningkatan hasil negeri yang mencecah RM7 bilion membuktikan keupayaan pentadbiran sedia ada dalam memperkukuh kedudukan kewangan Sabah.
“Tanpa dana ini, dan sementara menunggu pelaksanaan bayaran tuntutan 40 peratus, wawasan SMJ hanyalah mantera di atas kertas. Hari ini, Sabah ada dana, dan Hajiji ada iltizam politik untuk melaksanakannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah menilai tragedi berkenaan secara matang dan menjadikannya titik tolak untuk menyokong agenda pembangunan yang lebih selamat serta tersusun.
“Kita mahu terus hidup dalam ketakutan, atau kita memberi ruang luas kepada kepimpinan sedia ada untuk membina masa depan yang lebih selamat?
“Mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat. Kita sokong dan biarkanlah Hajiji fokus kepada kerja-kerjanya. Pembangunan perlukan masa, dan keamanan perlukan kestabilan,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat serta mendoakan mereka terus tabah menghadapi dugaan itu. – Info X