BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki sempat menjerit meminta pertolongan sebelum tenggelam selepas tergelincir ke dalam parit kebun sawit di Jalan Dua, Kampung Rancangan Klias, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa berusia 10 tahun dipercayai berjalan di tebing parit bersama rakannya sebelum tergelincir akibat keadaan tanah yang licin selepas hujan.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa yang tidak pandai berenang kemudian menjerit meminta pertolongan selepas terjatuh ke dalam parit berkenaan.
“Rakannya yang panik dan tidak dapat membantu mangsa segera berlari memaklumkan kejadian itu kepada bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kira-kira satu kilometer di belakang rumah mereka sebelum terjun ke dalam parit untuk mencari anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, ketika berada di dalam parit, bapa mangsa terpijak kaki anaknya sebelum menarik mangsa naik ke tebing.
Katanya, lelaki itu cuba memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya sebelum membawa mangsa pulang ke rumah.
“Pasukan perubatan Hospital Beaufort yang tiba di rumah mangsa kemudian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia,” katanya.
Champin berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati parit berkenaan baru dibersihkan dan didalamkan serta mempunyai ketinggian kira-kira tiga meter dengan kedalaman air mencecah dua meter.
“Paras air dipercayai meningkat berikutan hujan ketika kejadian.
“Pemeriksaan luaran oleh pegawai perubatan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort tidak menemukan sebarang kesan perbuatan jenayah pada tubuh mangsa,” katanya.
Menurutnya, bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Beaufort pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa, terutama ketika berada berhampiran sungai atau kawasan berair.
“Ibu bapa perlu mengetahui lokasi anak-anak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – Info X