Search

Kanak-kanak 2 tahun dikhuatiri lemas jatuh sungai

December 25, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam muara sungai sebelum dihanyutkan arus deras di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas Batu 4, di sini, petang tadi.

Mangsa Aduha Iman, 2, dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di belakang rumahnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.54 petang.

Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pasukan bomba melakukan operasi SAR di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas Batu 4, Tawau. – Foto/Bomba

“Menurut saksi iaitu ibu mangsa, kanak-kanak terbabit telah tergelincir kemudian terjatuh dan dibawa arus ketika bermain di belakang rumah.

“Ketika kejadian mangsa dilaporkan memakai baju warna putih,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sepasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi SAR.

“Setakat ini mangsa belum ditemui, operasi SAR ditangguhkan pada 7.30 malam dan akan disambung pada pagi esok.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Lokasi mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam muara sungai di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas Batu 4, Tawau. – Foto/Bomba

Operasi SAR turut dijalankan sepasukan polis. – Info X