TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Jati Batu 5 Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, sebanyak 38 buah rumah dan beberapa kenderaan musnah terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah malam.
Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai BBP Tawau bersama enam jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati beberapa rumah sudah terbakar dan api mula merebak dengan cepat ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus menjalanan operasi pemadaman dengan dua pancutan dari sumber air tangki jentera dan air sungai berhampiran.
Jemishin berkata, api mula terkawal pada jam 2.28 pagi dan sebanyak 38 rumah jenis tidak kekal berkeluasan 1.57 ekar musnah terbakar.
Katanya, terdapat seorang kanak-kanak ditemukan rentung dan mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.59 pagi.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian dialami mangsa,” katanya. – Info X