Search

Kanak-kanak 9 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di Benoni

September 23, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas di sungai Kampung Benoni, di sini, petang tadi.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai mandi bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam.

Katanya, sepasukan anggota dengan kekuatan sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

Lokasi mangsa kanak-kanak dikhuatiri lemas di sungai Kampung Benoni, Papar.

“Pasukan tiba di lokasi jam 7.43 malam dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Difahamkan mangsa bersama beberapa rakan mandi-manda sebelum dilaporkan hilang. Setakat ini mangsa masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, usaha mencari mangsa masih giat dilakukan di sekitar lokasi kejadian.

“Operasi masih diteruskan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X