PITAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di Kampung Kalipuon, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia sembilan tahun ditemukan pada jam 12.40 tengah hari oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas dan penduduk kampung.
Ketua BBP Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.40 pagi.
Katanya, enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bersama orang kampung menjalankan operasi SAR mangsa menggunakan kaedah ‘Surface Water Rescur’.

“Mangsa berjaya ditemui di lokasi kejadian oleh pasukan bomba dan penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diberi rawatan awal bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika berada di hospital.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 12.44 tengah hari tadi,” katanya. – Info X