Search

Kanak-kanak autisme dilapor hilang di Tamparuli

April 20, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) autisme dipercayai hilang dari rumahnya di belakang pejabat Daerah Tamparuli, di sini, hari ini.

Kehilangan Mohd Aniq Faiz Mohd Asraf, 5, itu disedari ibunya selepas hanya menemui patung milik anaknya di luar rumah mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada jam 1.52 tengah hari.

Katanya, seramai lapan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Anggota bomba menjalankan operasi SAR di lokasi mangsa dilaporkan hilang di Tamparuli. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba membuat pencarian di kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan bantuan anjing pengesan (K9).

“Setakat ini, kanak-kanak terbabit sebelum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pencarian masih dijalankan di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pasukan keselamatan yang menjalankan pencarian mangsa yang dilaporkan hilang di rumahnya di Tamparuli. – Foto/Bomba

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi SAR turut dijalankan sepasukan anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X