KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak autisme dilaporkan hilang, ketika sedang bermain di tepi sungai di Batu Putih, Menggaris, di sini, hari ini.
Mangsa Mohammad Aqeef Al Tarmiezy, 6, disedari hilang oleh ahli keluarganya sebelum menjalankan pencarian di kawasan berhampiran kira-kira jam 2 petang hingga 6 petang.
Bagaimanapun kanak-kanak berkenaan gagal ditemui sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua BBP Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Hairi Utoh berkata, pihak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.
“Usaha menjejaki mangsa sedang dijalankan pasukan bomba dengan dibantu penduduk kampung.
“Namun setakat ini mangsa masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X