LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari jambatan berhampiran rumahnya di perkampungan air Kampung Patau-Patau Dua, di sini, malam tadi.
Mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam.
Katanya, pasukan bomba bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi kejadian dan tiba tiga minit kemudian sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

“Mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 12.57 tengah malam, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.38 pagi. – Info X