TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan yang hanyut di sungai Kampung Ranggu, Batu 8 Jalan Apas, di sini, semalam ditemukan lemas, pagi tadi.
Mangsa Putri Jimar, 4, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, terdahulu pencarian mangsa disambung semula pada jam 6.58 pagi dengan kaedah surface rescue bersama agensi lain dan orang awam.
Katanya pencarian dilakukan di sekitar mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi dengan jarak 800 meter dari lokasi asal dilaporkan lemas.
“Pasukan bomba menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi.
Semalam, Putri dikatakan cuba menyeberangi sungai bersama bapanya sebelum dia dihanyutkan arus deras sungai. – Info X