Search

Kanak-kanak hilang ketika mandi sungai ditemui lemas

February 26, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pegalan, Kampung Panagatan, Keningau ditemui lemas malam ini.

Mayat Aloysius Alfred, 13, ditemui jam 9.50 malam oleh orang kampung 520 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, kanak-kanak itu ditemui orang kampung sebelum memaklumkan kepada pasukan bomba.

“Mangsa ditemui 520 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus sungai ketika mandi bersama rakannya.

“Mangsa kemudian dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di Sungai Pegalan, Kampung Panagatan, Keningau. – Foto/Bomba

Terdahulu, mangsa Aloysius bersama lima rakannya melakukan aktiviti mandi manda di sungai berkenaan sebelum dua daripada dihanyut arus deras sungai.

Bagaimanapun salah seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh datuknya manakala Aloysius hilang.

Pasukan bomba yang menerima panggilan jam 5.50 petang tadi kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. – Info X