KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang, selepas melarikan diri ke dalam hutan di Kampung Dudar, di sini, pagi tadi kerana berselisih faham dengan ahli keluarga, ditemui selamat, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 9.30 malam pada jarak 400 meter dari rumah keluarganya oleh orang kampung.

“Orang kampung menemui mangsa di jalan raya kira-kira 400 meter dari rumah keluarga mangsa dalam keadaan selamat.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 10.30 malam.

Operasi pencarian dijalankan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
Turut hadir di lokasi pencarian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan.
Terdahulu, mangsa dipercayai keluar dari rumah kelmarin, selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarganya.
Selepas itu, mangsa dikatakan pulang semula ke rumah pada 3.30 pagi semalam, namun melarikan diri semula ke dalam hutan sebaik mendapati ada ahli keluarga lain di rumahnya. – Info X