PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Inobong, di sini semalam, ditemui lemas pagi ini.
Mayat mangsa Ashley Preston Hartley, 13, ditemui pasukan bomba kira-kira 1.3 kilometer dari jarak mangsa dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua disambung kira-kira 6 pagi ini.
Katanya, operasi SAR dilakukan sepanjang sungai menggunakan bot dan teknik menyusuri tebing sungai berjalan kaki oleh anggota penyelamat.

“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan bomba pada 1.3 kilometer dari jarak mangsa dilaporkan jatuh.
“Mayat mangsa seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada 7.51 pagi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 6 petang semalam, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di tepi sungai bersama empat rakannya.
Operasi SAR turut disertai pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. – Info X