LABUAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 10 di apartment Ganggarak Permai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.28 pagi itu, mayat mangsa ditemui di tingkat satu bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa warga tempatan tinggal di tingkat 10 apartment berkenaan.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan dengan lif apartment berkenaan.
“Pegawai perubatan yang hadir di lokasi pada 7.42 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan kepada Unit Forensik untuk bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222,” katanya. – Info X