Search

Kanak-kanak, warga emas lemas dihanyut kepala air

October 3, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki dan wanita warga emas ditemui lemas selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd, Tongod, di sini, malam tadi.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan terlepas daripada genggaman ibunya sebelum dibawa arus, manakala warga emas berusia 79 tahun terbabit turut gagal menyelamatkan diri.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui pada jarak antara 200 hingga 250 meter dari lokasi mereka dilaporkan hanyut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam.

Katanya, seramai lima anggota digerakkan ke lokasi dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod.

“Setiba anggota bomba di lokasi, paras air sungai naik mendadak dipercayai akibat kepala air dari hulu.

“Pasukan penyelamat memulakan operasi pencarian dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pix/Bomba

Menurutnya, hasil pencarian menemukan mayat wanita warga emas warga Indonesia kira-kira 250 meter dari lokasi asal.

“Tidak lama kemudian, mayat kanak-kanak lelaki warga tempatan itu pula ditemui pada jarak 200 meter dari penemuan pertama.

“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tiada operasi pemindahan dilakukan kerana paras air sungai telah surut sepenuhnya.

“Selepas memastikan tiada ancaman lain, operasi ditamatkan pada jam 5.04 pagi,” katanya. – Info X