KOTA KINABALU: Kenderaan yang tular merempuh masuk sebuah restoran di Luyang, di sini, pagi tadi, dipercayai bergerak ke hadapan selepas pemandunya gagal memastikan kedudukan gear dalam keadaan selamat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.32 pagi itu, kereta jenis Perodua Kancil berkenaan bergerak dari hadapan premis sebelum merempuh seorang wanita berusia 63 tahun yang sedang berada di dalam restoran.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, berdasarkan siasatan awal, kenderaan berkenaan dipandu seorang lelaki sebelum kejadian berlaku di Restoran Yun Heng Baru.
Katanya, pemandu dipercayai gagal memastikan kedudukan gear kenderaan berada dalam keadaan selamat menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan memasuki premis restoran.
“Kenderaan berkenaan kemudian melanggar seorang wanita yang ketika itu sedang membeli makanan di restoran berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan masih sedar serta boleh bergerak selepas kejadian.
Katanya, wanita berkenaan kemudian dibawa bersama suaminya ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Menurutnya, anggota Balai Polis Luyang turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan awal, manakala siasatan lanjut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kota Kinabalu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan detik kenderaan berkenaan tiba-tiba bergerak ke hadapan sebelum merempuh masuk ke restoran dan mengenai wanita terbabit.
Rakaman itu turut menunjukkan keadaan di dalam premis berselerak susulan rempuhan berkenaan. – Info X