KUCHING: Sembilan anak kapal dilaporkan hilang selepas kapal kargo yang dikendalikan oleh mereka terbalik di kawasan perairan Pulau Burung di Sebuyau.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu sekitar jam 2 petang.
Katanya, berdasarkan laporan itu, Kapal Maritim KM Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika ini kapal KM Kota Kinabalu sudah berada dilokasi kejadian itu dan dimaklumkan tiada mangsa di temui setakat ini.
“Kita sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sembilan anak kapal terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal kapal berkenaan membawa empat kru Malaysia manakala empat lagi kru warga Myanmar dan seorang kru Indonesia.
“Kapal kargo berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Riau ke Kuching.
“Maritim Malaysia turut menggerakkan Bot Kilat 35 serta aset udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu pencarian semua kru kapal,” katanya.
Jelasnya, pencarian awal dilakukan berdekatan lokasi kejadian sebelum ia diperluaskan. – Info X