Search

Kapasiti asrama SMK Majakir, Papar meningkat kepada 300 pelajar

September 26, 2026

BERNAMA

PAPAR: Kapasiti asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir di sini meningkat kepada 300 pelajar berbanding 160 sebelum ini menerusi pembinaan blok asrama baharu bernilai RM18.23 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyerahan projek pembinaan blok baharu asrama sekolah itu, merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menyediakan akses kepada kemudahan pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

“Projek berkenaan siap pada 30 April 2026 dan skop pembinaannya merangkumi dua blok bangunan asrama dua tingkat serta pelbagai kemudahan lain berkaitan.

“Pembinaan blok baharu ini amat signifikan dalam menangani kekangan kapasiti yang sekian lama dihadapi sekali gus menambah baik kemudahan asrama bagi warga SMK Majakir,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Armizan berkata sebelum ini asrama SMK Majakir hanya mampu menempatkan 160 murid, terdiri daripada 80 pelajar lelaki dan 80 pelajar perempuan dan bangunan itu pada asalnya merupakan blok bilik darjah dan pentadbiran yang kemudiannya diubah suai untuk dijadikan asrama bagi memenuhi keperluan penginapan murid,” katanya.

Beliau berkata penggunaan bangunan yang tidak dibina khusus sebagai asrama menyebabkan pihak sekolah berhadapan dengan pelbagai kekangan dari segi ruang, susun atur, kemudahan, keselesaan dan pengurusan penghuni.

“Kapasiti sedia ada pula telah digunakan sepenuhnya, sedangkan pihak sekolah terus menerima permohonan daripada murid yang memerlukan kemudahan asrama, khususnya mereka yang tinggal jauh dan menghadapi kesukaran untuk berulang-alik setiap hari.

“Kekangan ruang turut menyebabkan beberapa kemudahan sedia ada terpaksa digunakan bagi tujuan lain, termasuk bilik warden asrama lelaki yang dijadikan bilik murid bagi menampung pertambahan penghuni dan sebuah bilik kelas digunakan sebagai bilik persediaan belajar,” katanya.

Armizan berkata Asrama Putera (ASPURA) juga sebelum ini tidak mempunyai bilik sakit khusus, manakala keadaan bilik penginapan yang sesak menjejaskan keselesaan serta kualiti rehat murid.

Beliau berkata blok baharu itu turut dilengkapi dua rumah warden, dua bilik dormitori orang kurang upaya (OKU), dua bilik umum, dua bilik isolasi, dua pejabat warden, dua bilik penyambut tetamu, dua gelanggang sukan, sebuah bilik pejabat penyelia asrama dan sebuah dewan makan berkapasiti 300 orang serta kemudahan lain yang berkaitan.

“Bangunan asrama lama akan dipertimbangkan untuk dikembalikan kepada fungsi asalnya sebagai bilik darjah. Langkah ini akan memberikan manfaat tambahan kepada pihak sekolah melalui penyediaan ruang pembelajaran yang lebih mencukupi dan kondusif,” katanya.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek berkenaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), JPNS, Jabatan Kerja Raya (JKR), PPD Papar, pasukan pelaksana projek, pihak perunding dan kontraktor.–BERNAMA