Search

Karim Bujang meninggal dunia

September 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.

Berita itu dikongsi beberapa kenalan arwah yang mengucapkan takziah dan mendoakan roh Allahyarham melalui media sosial.

Antaranya ialah anak didik arwah, Datuk Mohamad Alamin yang kini Ahli Parlimen Kimanis dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Mohamad juga adalah bekas ADUN Bongawan yang menggantikan tempat arwah pada 2013 ketika di bawah UMNO-Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua mereka juga pernah bersaing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020 yang mana ketika itu Karim bertanding atas tiket Warisan, manakala Mohamad di bawah UMNO-BN.

Menerusi perkongsian di Facebook, Mohamad menyatakan beliau mempunyai banyak pengalaman bersama arwah sebelum ini.

“Sebelum saya berkecimpung dalam politik saya pernah menjadi Peguam Pengiring untuk Allahyarham ketika penamaan calon dalam pilihan raya negeri tahun 2004. Waktu itu Allahyarham menjadi Calon BN untuk DUN Bongawan.

“Allahyarham juga antara pemimpin yang membimbing saya dan membawa saya masuk dalam sistem politik UMNO Bahagian Kimanis. Waktu itu Allahyarham adalah Ketua Bahagian Penaja UMNO Kimanis. Perjalanan politik saya menerusi Pemuda UMNO Kimanis banyak didorong oleh Allahyarham.

“Pertama kali saya bertanding Calon BN di DUN Bongawan pada tahun 2013, Allahyarham juga merupakan antara sosok yang banyak membantu memenangkan saya pada waktu itu,” katanya.

Mohamad juga berkongsi mengenai dinamika politik yang mengubah haluan politik masing-masing, namun ikatan silaturahim tetap kekal terjalin

“Dinamika politik itu memang unik dan dipenuhi warna warni, namun sehingga saat ini silaturrahim dan persahabatan saya dengan Allahyarham amat baik dan kukuh.

“Bila terjumpa di mana-mana pasti Allahyarham akan bergurau dengan saya dengan cerita-cerita lama. Begitulah keperibadian Allahyarham yang sangat mesra, ceria dan suka bergurau serta sering menghiburkan suasana.

“Selamat berehat sifu politik ku. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham YBhg Datuk Hj Karim Hj Bujang. Alfatihah,” katanya.

Allahyarham Karim Bujang, 73, memulakan kerjaya politik bersama USNO dan memenangi kerusi DUN Bongawan pada 1990 sebelum bersama UMNO apabila USNO dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO pada 1991.

Beliau menyandang kerusi DUN Bongawan selama lima penggal sehingga 2013 dan kekal bersama UMNO-BN sehingga 2018.

Pada PRU 2018, Karim bertanding kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Warisan menentang bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (BN) dan tewas tipis sebelum memfailkan petisyen pilihan raya yang memihak kepadanya pada 2020.

Berikutan itu PRK Kimanis diadakan pada Januari 2020 yang menyaksikan Karim bertanding semula atas tiket Warisan menentang Mohamad yang bertanding atas tiket BN.

Arwah bagaimanpun tewas di tangan Mohamad berikutan sentimen pemberian pas untuk pendatang asing oleh kerajaan pimpinan Warisan yang dijadikan bahan kempen BN pada masa itu.

Karim kemudian menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) setelah meletak jawatan sebagai Pengerusi Tetap Warisan pada 2024.

Sepanjang berkhidmat sebagai ADUN, Karim antaranya pernah menjadi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. – Info X