Search

Karim Bujang sertai Gagasan Rakyat

March 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Tetap Parti Warisan, Datuk Karim Bujang, hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku presiden parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi.

Ia bersempena Majlis Berbuka Puasa kepemimpinan tertinggi Gagasan Rakyat yang dihadiri hampir semua pemimpin tertinggi parti itu.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Masidi Manjun dan dua Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Datuk Masiung Banah.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, Datuk Mohd Razali Razi; Ketua Pergerakan Pemuda Negeri, Datuk Fairuz Renddan; Ketua Wanita Negeri, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Beliawanis Negeri, Emmie M Idang.

Hadir sama ialah Ketua Penerangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Bendahari Negeri, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar.

Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di bilik mesyuarat Kinabalu, SICC.

Karim, 70, adalah bekas ADUN Bongawan sejak 1990 atas tiket USNO pada waktu itu sebelum bersama UMNO mulai 1994 hingga melepas kerusi berkenaan pada 2013.

Bagaimanapun, pada 2018 Karim bertanding semula, pada masa itu di kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Warisan, namun kalah tipis di tangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN)

Pada 2020, Karim sekali lagi dicalonkan Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis selepas Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan Anifah pada 2018, namun Karim tewas lagi di tangan calon BN pada masa itu, Datuk Mohamad Alamin.

Sejak itu, Karim mulai senyap, namun masih bersama Warisan sebagai Pengerusi Tetap parti itu sehinggalah hari ini, apabila beliau dilihat hadir pada majlis Gagasan Rakyat dan menyerahkan borang menyertai parti itu. – Info X