Search

Karnival Pendidikan Aspirasi, Komunikasi dan Digital Belia Sabah di SICC 2-4 Ogos

July 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Education Tech 2024 (SET) menganjurkan Karnival Pendidikan Aspirasi, Komunikasi dan Digital Belia Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos ini.

Karnival selama tiga hari sempena Bulan Kemerdekaan 2024 itu dijadual dirasmikan penutupannya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Pengerusi Pelaksana Program
SET, Munirah Ruslan, berkata Karnival Pendidikan yang julung kali dianjurkan di Sabah itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek pendidikan dan kerjaya.

“Hal ini kerana permulaan fasa baharu mereka memerlukan bimbingan, perkongsian pengalaman dan penerokaan maklumat yang lebih mendalam mengenai hala tuju pendidikan masing-masing khususnya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Pengisian karnival berkenaan juga membuka peluang kepada pengunjung meluaskan pengetahuan mengenai institusi pendidikan yang boleh diteroka selain memberi motivasi atau pemangkin semangat kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Mereka akan lebih mudah memilih bidang dan kursus yang ditawarkan bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran yang ada pada mereka,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Selain itu, Munirah berkata, penganjuran karnival itu dapat memberi pendedahan kepada masyarakat agar peka mengenai inisiatif strategik negara untuk menggalakkan dan menarik syarikat, bakat serta pelaburan.

Di samping itu, katanya ia juga menggalakkan syarikat di Malaysia serta rakyat memainkan peranan utama dalam revolusi digital dan ekonomi digital global.

“Melalui pengalaman seperti ini mampu mempertingkatkan motivasi dan semangat pelajar dan belia. Selain usaha bagi meringankan beban ibu bapa dalam kalangan B40 yang tidak berkemampuan.

“Secara tidak langsung dapat memberi galakan secara fizikal dan mental kepada pelajar sekolah dan belia,” katanya.

Menurut Munirah, pengunjung juga bakal didedahkan dengan pelbagai peluang menyertai Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) atau Vocational Education and Training (TVET) yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan.

“Semua ini penting bagi memanfaatkan perkembangan dan kemajuan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya di bawah inisiatif MCMC yang membantu usahawan ke arah pendigitalan yang berinovatif dan berdaya saing, terutamanya masyarakat di luar bandar,” katanya.

Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, iaitu Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menerajui transformasi ekonomi digital kini memperkasakan program meningkatkan kemahiran digital bersama rakan kongsinya dibawah Direktori Latihan Kemahiran Digital.

Kumpulan sasaran Karnival Pendidikan itu ialah pelajar Tingkatan Lima, Tingkat Enam Atas (Calon SPM/STPM), IPTA/IPS, IKS dan orang awam.

Sasaran pengunjung dalam tempoh tiga hari lebih kurang 10,000 orang bermula jam 8 pagi dan masuk adalah percuma. Lebih 100 pempamer menyertai program itu.

Turut diadakan Pelancaran Program Jelajah Saya Digital (JSD) Sabah 2024 oleh Malaysia Digital Economy Corporation (Mdec) Sdn Bhd. – Info X