Search

Kastam Labuan rampas 34 kenderaan bernilai lebih RM3 juta

June 8, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita sebanyak 34 kenderaan pelbagai jenama kerana tidak kembali ke pulau bebas cukai selepas tamat tempoh 90 hari menerusi Ops Radu 2024.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, pasukan operasi telah melaksanakan beberapa siri operasi bertujuan untuk memburu pemilik-pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Katanya, pelaksanaan Ops Radu itu menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan sepanjang operasi itu dilaksanakan sebanyak 34 kes telah direkodkan.

“Sepanjang operasi berkenaan 34 kes dicatatkan membabitkan sitaan sebanyak 34 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai rampasan RM3,085,030.78.

“Kenderaan yang disita itu membabitkan pemilik kenderaan yang melanggar syarat Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan butiran 14 itu, kenderaan yang dibeli ke Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan masuk ke kawasan Utama Kastam (KUK) tidak lebih 90 hari dalam setahun.

Aspalila Ag Tuah (tengah) ketika sidang media di pejabat Kastam Labuan.

“Mondus operandi yang dikesan iaitu kenderaan ini telah dibawa masuk ke KUK dengan menggunakan kemudahan di bawah butiran 14, bagaimanapun kenderaan itu tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh.

“Semua kenderaan pelbagai jenama disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Sekyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata, orang awam digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti berkenaan.

“Ini kerana ia boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan nagara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X