KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk 15 kotak berisi 205 kilogram dadah jenis syabu ke negeri ini gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah, pada 15 Februari lalu.
Semua dadah yang bernilai RM6.85 juta itu berjaya dirampas dalam operasi yang dijalankan pada jam 9.10 pagi di sebuah premis di HS Commercial Centre, Penampang.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada awalnya, pihak JKDM mengesan 15 kotak mencurigakan di gudang Pos Aviation Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).
Katanya, hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati senua kotak berkenaan mengandungi dadah jenis Methamphetamine.
“Semua kotak berkenaan kemudiannya ‘dilepaskan’ ke premis syarikat penghantaran kurier berdasarkan alamat tertera untuk mengesan pemilik yang bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, selepas tiga hari, semua kotak berkenaan tidak dituntut dan serbuan rampasan terus dijalankan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, semua dadah berkenaan dibungkus menggunakan bungkusan teh cina dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum disimpan di dalam kotak berkenaan.
Katanya, semua dadah seberat 205 kilogram itu dianggarkan bernilai RM6.85 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.
Mohd Nasir berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan pengedar dadah adalah dengan menghantar melalui perkhidmatan kurier bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Katanya, setakat ini JKDM Sabah belum membuat sebarang tangkapan dan usaha mengesan suspek atau ahli kumpulan penyeludup serta pihak berkaitan lain giat dijalankan.

“Penerima bagi bungkusan ini juga sukar dikesan berikutan sindiket penyeludup hanya menggunakan alamat pejabat premis penghantar barang dan bungkusan ini akan dituntut sendiri di premis terbabit oleh sindiket berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ini adalah rampasan terbesar bagi JKDM Sabah bagi tahun ini dan sekiranya terlepas, bekalan dadah ini boleh menjejaskan lebih 600,000 penagih,” katanya.
Mohd Nasir berkata, pasukan COBRA yang berfungsi sebagai penggempur dan pelindung Bahagian Penguatkuasaan JKDM, diyakini mampu melaksanakan lebih banyak rampasan bagi memastikan tiada bekalan dadah yang terlepas ke negeri ini.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, JKDM Sabah memohon orang ramai membantu dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X