KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menumpaskan dua cubaan penyeludupan dadah selepas berjaya merampas 886 gram ganja dan 3.01 kilogram ketamin.
Kedua-dua dadah yang bernilai keseluruhan RM184,396 itu dibawa menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan pertama berjaya dilakukan pada 15 Mei lalu apabila dadah berkenaan berjaya dikesan melalui mesin pengimbas.
Katanya, pasukan JKDM menemui bungkusan meragukan dan hasil pemeriksaan mendapatinya mengandungi dadah berbahaya jenis ganja.
“Kes kedua pula dikesan pada 19 Mei lalu apabila mesin pengimbas sekali lagi berjaya mengesan bungkusan meragukan yang mengandungi dadah dipercayai diseludup masuk untuk pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan berkenaan berjaya mengenalpasti dadah dipercayai jenis ketamin dengan berat kasar 3.011 kilogram,” katanya pada sidang media, di Menara Kastam Zon Sabah, di sini, hari ini.
Mohd Nasir, pemeriksaan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan adalah dengan memberi maklumat palsu pada nota slip penghantaran.
Katanya, pemeriksaan mendapati maklumat yang diberikan adalah menggunakan alamat yang tidak wujud selain perniagaan atau syarikat yang tidak aktif.
“Setakat ini tiada sebarang tangkapan berjaya dilakukan terhadap kedua-dua kes berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, JKDM Zon Sabah berjaya merampas keseluruhan sebanyak 32.26 kilogram dadah bernilai RM1.244 juta.
Katanya, rampasan membabitkan empat jenis dadah iaitu methamphetamine, ketamin, ganja dan daun ketum. – Info X