Search

Kastam Sabah rampas minuman keras RM1.5 juta

June 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga kontena minuman keras bernilai lebih RM1.5 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah, baru-baru ini.

Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari negara jiran itu dirampas selepas berjaya dikesan mesin pengimbas di Pelabuhan Sepanggar, pada 24 April lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, ketiga-tiga kontena berkenaan dibawa masuk dengan diikrarkan sebagai produk keperluan rumah, aksesori telefon pintar dan alat ganti jentera ‘excavator’.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, semua kontena berkenaan berisi 70,407 liter minuman keras pelbagai jenama.

“Semua minuman berkenaan dianggarkan bernilai RM298,442, manakala nilai duti dan cukai terbabit pula adalah sebanyak lebih RM1.2 juta.

“Tindakan penyeludup melakukan kegiatan ini bukan saja dipercayai mahu mengelak membayar cukai tetapi juga disebabkan prosedur permit mengimport barangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan barangan rampasan membabitkan minuman keras yang disyaki diseludup pada sidang media JKDM Zon Sabah di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, Kota Kinabalu.

Sementara itu dalam operasi berasingan, Mohd Nasir berkata, pihaknya turut melancarkan operasi ‘Ops Tuai’ pada 22 Mei lalu membabitkan lapan daerah berasingan di seluruh negeri ini.

Katanya, hasil operasi berkenaan, JKDM berjaya merampas 16,767 liter minuman keras dan 15,480 batang rokok bernilai keseluruhan sebanyak RM89,617 tidak termasuk cukai.

“Selain itu, pasukan operasi turut merampas dua lori, sebuah van dan kereta Perodua Viva yang disyaki digunakan untuk menyimpan dan menghantar semua barangan seludup berkenaan.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang disita dalam operasi ‘Op Tuai’ ini dianggarkan bernilai RM456,647,” katanya.

Susulan rampasan itu, Mohd Nasir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(d) akta sama iaitu mengimport barang-barang larangan serta menyimpan barang larangan.

“Bagi kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000, mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda jumlah duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana yang lebih besar.

“Pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Nasir berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Justeru itu katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X