Search

KDM KEMBALI SOKONG KEPIMPINAN HAJIJI

February 21, 2023

admin

PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini, menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, keputusan berkenaan diambil selepas pihak parti itu mempertimbangkan kepentingan rakyat serta kemelut politik yang berlaku di Sabah baru-baru ini.

Malahan Peter menyatakan sokongan ke atas kepimpinan Hajiji adalah tanpa sebarang syarat.

“Kemelut politik Sabah wajar dijadikan pengajaran bagi kita terus memajukan negeri ini.

“Oleh itu, saya bersama pimpinan tertinggi KDM membuat keputusan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah untuk menerajui pimpinan tertinggi negeri.

“Perkara paling penting ialah usaha kami untuk bersama membangunkan negeri Sabah dan membantu masyarakat terutamanya pengundi kami,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat KDM hari ini.

Mengulas lanjut, Peter berharap dengan pengumuman sokongan terbabit, hari ini, dapat membuat kemelut politik Sabah akan reda.

Dalam pada itu, Peter turut menyatakan keputusan menerima sokongan KDM ke atas Gagasan Rakyat kini terpulang kepada Hajiji.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan, keterbukaan Ketua Menteri sama ada mahu menerima sokongan kami atau tidak tetapi di peringkat kita, KDM akur dengan keputusan Perdana Menteri oleh kerana di peringkat  Persekutuan kita adalah kerajaan dan di Sabah ini Kerajaan Perpaduan,” katanya. – Info X