Search

KDM tamatkan kerjasama dengan GRS

August 15, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pemangku Presidennya, Pricella Peter, berkata keputusan itu dipersetujui sebulat suara Majlis Tertinggi KDM bagi membolehkan parti berkenaan bergerak mengikut kehendaknya di luar GRS.

Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang berat, tapi perlu dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap KDM dan mejunjukkan yang KDM mempunyai hala tuju masa depannya.

“Apa yang berlaku selepas pilihan raya lalu telah menyebabkan kerosakan terhadap asas parti kita dan gerakan yang kita buat hari ini, keputusan ini, untuk menunjukkan bahawa ia dibuat bukan apabila tiba pilihan raya.

“Kita perlu mengambil tindakan dan menarik semula kepercayaan daripada akar umbi supaya rakyat tidak melihat parti kita bertindak hanya pada masa piluhan raya, apabila Parlimen dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perjumpaan tahunan KDM bagi menjelaskan hala tuju baharu parti itu, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Presiden KDM yang juga ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi, Ahli Majlis Tertinggi KDM dan pemimpin tertinggi parti.

Berikutan keputusan itu, katanya mana-mana pemimpin KDM yang memegang jawatan dalam kerajaan pimpinan GRS mungkin tertakluk kepada protokol perjawatan kerajaan, termasuk kemungkinan meletak jawatan.

Pricella berkata, keputusan KDM itu termasuk kemungkinan mengadakan perbincangan dengan parti-parti tempatan lain sebagai persiapan untuk menghadapi PRU16 yang dijangka diadakan tahun depan.

Katanya, KDM tidak akan bertanding secara solo pada PRU16 nanti, sebaliknya akan bergabung dengan parti tempatan lain, antaranya mungkin Parti Warisan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Mungkin Warisan dan mungkin STAR juga, tapi kita belum memutuskan sebarang keputusan kerana kita perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu. Tapi kemungkinan parti tempatan itu, ya,” katanya.

Mengenai cadangan penubuhan blok Borneo, beliau berkata perkara itu memerlukan masa untuk dibincang sebelum keputusan dibuat dalam masa terdekat.

Majlis perjumpaan dan amanat presiden itu, katanya dihadiri lebih 300 pemimpin dan ahli KDM dari 25 bahagian.

Pricella turut menjelaskan ketidakhadiran seorang lagi Timbalan Presiden KDM yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda yang katanya sibuk dengan urusan di Parlimen. – Info X