Search

Kebakaran di SGCC, 60 kenderaan buggy hangus

June 2, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sebanyak 60 kenderaan ‘buggy’ musnah selepas bangunan buggy house di Sabah Golf & Country Club (SGCC), Jalan Kolam, Bukit Padang, di sini, terbakar, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada 12.28 tengah malam.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah bangunan Buggy House jenis kekal dua tingkat.

“Bangunan itu terbakar 80 peratus hingga menyebabkan sebanyak 60 buggy serta peralatan golf turut musnah terbakar.

“Tindakan pasukan bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran dengan dua pancutan daripada sumber air jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

kebakaran membabitkan sebuah bangunan Buggy House jenis kekal dua tingkat di SGCC.

Menurutnya, operasi terkawal pada 1.15 pagi dan seterusnya kerja ‘overhaul’ dijalankan.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan pada jam 2.30 pagi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu terbabit memadam kebakaran itu. – Info X