Search

Kebakaran gudang penyimpanan kabel SESB padam selepas 16 jam

April 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas 16 jam, gudang penyimpanan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini yang terbakar jam 12.50 tengah hari semalam, akhirnya dapat dipadam sepenuhnya pada jam 4.30 petang tadi.

Gudang berkeluasan 1.2 hektar itu menyimpan stok gelung kabel elektrik pelbagai saiz dilaporkan musnah sepenuhnya selepas api terlalu besar dan sukar dikawal.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari, semalam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 72 anggota dan pegawai bersama tiga Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera Water Tanker dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kebakaran membabitkan sebuah gudang penyimpanan kabel-kabel SESB dengan anggaran keluasan 1.2 hektar. Turut terbakar, sebuah rumah kosong.

“Kebakaran membabitkan satu lot tanah lapang menyimpan stok gelung kabel elektrik pelbagai saiz. Jumlah keseluruhan kabel sebanyak 1,426 gelung dan terbakar sebanyak 1,046 gelung manakala 380 gelung berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan air dari jentera, water tanker dan sumber air terbuka iaitu parit dan sungai.

“Kerja-kerja pemindahan kabel SESB dengan menggunakan satu kren dan dua forklif oleg kakitangan SESB.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Semalam, Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau berkata, kebakaran membabitkan keluasan 1.2 hektar yang menempatkan sejumlah besar gulungan kabel milik SESB.

Katanya, kabel yang ditempatkan di stor terbuka itu adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri, kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.

“Luas kawasan yang terbakar lebih kurang tiga ekar (1.2 hektar), tapi ada juga kabel yang dapat diselamatkan dengan anggaran awal kerugian sebanyak RM40 juta.

“Setakat ini, punca kebakaran belum dikenal pasti. Kabel yang terbakar ada yang baru sampai pagi tadi sebelum diagihkan ke seluruh Sabah.

“Akibat kebakaran ini, SESB terpaksa menempah semula kabel, khususnya untuk penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah,” katanya ketika diminta mengulas kebakaran terbabit di lokasi kejadian, semalam. – Info X