SEMPORNA: Petugas Klinik Desa Tagasan, di sini mengalami detik cemas selepas berlaku kebocoran gas ammonia di klinik berkenaan, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.04 malam.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati berlaku kebocoran gas ammonia di klinik berkenaan yang berpunca daripada peti sejuk simpanan ubat dan vaksin.
“Kes berkenaan dikendalikan oleh pakar rujuk pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Mohammad Hannis Moktar,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Katanya, pasukan HAZMAT kemudian bertindak mengeluarkan peti sejuk berkenaan dari bilik simpanan untuk pengudaraan.
“Setakat ini semua petugas klinik berkenaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.19 malam,” katanya. – Info X