KOTA KINABALU: Siasatan polis mendapati kenderaan pacuan empat roda yang terjatuh dalam gaung hingga menyebabkan seorang maut dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang menurunkan brek tangan menyebabkan kenderaan terus mengundur sebelum jatuh ke dalam gaung di Kampung Kopungit, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.17 malam itu, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Rouge dinaiki empat lelaki berusia lingkungan 60 tahun.
Ketika semua mangsa masuk dan berada di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan enjin belum dihidupkan secara tidak sengaja, pemandu telah menurunkan brek tangan.
Akibat daripada itu, kenderaan yang dinaiki mereka telah mengundur ke belakang. Penumpang hadapan sempat melompat keluar manakala pemandu dan bersama dua lagi penumpang di bahagian belakang masih berada di dalam kenderaan berkenaan.
Kenderaan itu mengundur laju ke dalam gaung sedalam hampir 38 meter. Selepas kemalangan itu, pemandu dan salah seorang penumpang bahagian belakang terperangkap dan berjaya dikeluarkan oleh bantuan pasukan bomba.
Bagaimanapun, seorang lagi penumpang di belakang disyaki telah melompat ketika kenderaan itu mengundur dan ditemui di luar kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadkan oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh pemandu Toyota Hilux yang cuai mengawal kenderaannya dengan menarik brek tangan sehingga menyebabkan hilang kawalan terhadap pemanduan dan menyebabkan kematian seorang penumpangnya.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, katanya, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas. – Info X