Search

Kedaulatan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dirunding – Shafie

February 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan kedaulatan Sabah dalam Malaysia sudah diselesaikan dan tidak boleh dirunding.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, bekas Ketua Menteri Sabah itu, berkata kedudukan itu menjelaskan bahawa Sabah bukan tuntutan abstrak.

“Sabah bukan tuntutan abstrak. Ia adalah rumah kita. Kedaulatannya dalam Malaysia sudah diselesaikan dan ia tidak boleh dirunding,” katanya merujuk kenyataan pihak rasmi Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah.

Shafie berkata, beliau mengambil serius kenyataan dikeluarkan pihak dari negara jiran itu yang disifatkannya sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam kenyataannya, Shafie menjelaskan sejarah pembentukan Malaysia yang katanya didahului dengan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Borneo Utara bagi meninjau pendapat rakyat negeri ini sebelum pembentukan Malaysia.

“Dalam laporan Setiausaha Agung PBB pada 1963 (UN Document A/5446), direkodkan bahawa majoriti besar rakyat Sabah menyokong pembentukan Malaysia.

“Sabah membantu pembentukan Malaysia pada 1963 di bawah Perjanjian Malaysia (MA63). Kedudukannya sudah selesai dan ia tidak terbuka terhadap penegasan luar.

“Ia mengesahkan penentuan nasib sendiri sebagai asas kedaulatan kita dan status Sabah pada hari ini. Tiada undang-undang asing dan peta boleh mengatasi kehendak rakyat Sabah,” katanya.

Presiden Parti Warisan itu menegaskan bahawa Sabah ditadbir di bawah Perlembagaan Persekutuan, manakala rakyat Sabah mengundi dalam Pilihan Raya Malaysia dan Sabah menghantar wakil ke Parlimen.

“Undang-undang Malaysia digunakan dan Mahkamah Malaysia berfungsi di Sabah tanpa gangguan. Integriti wilayah Malaysia termasuk Sabah sudah diakui di peringkat antarabangsa sejak 1963.

“Malaysia melaksanakan pentadbiran penuh dan berterusan ke atas Sabah. Ia bukan pendapat tetapi fakta.

“Kita mengalu-alukan hubungan aman dengan jiran kita tetapi kita tidak boleh dan tidak akan menerima naratif yang tidak menghiraukan kedaulatan, keselamatan dan hak rakyat Sabah,” katanya. – Info X