KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti dua langkah segera bagi menangani kerosakan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli yang disahkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata dua langkah itu ialah penyewaan kabin dan penempatan sementara pelajar Tingkatan Enam ke bangunan yang lain.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sudah mengemukakan permohonan untuk menyewa sebanyak 16 kabin untuk pelajar SMK Tamparuli kepada KPM.
“Permohonan sewaan itu akan diangkat untuk kelulusan Kementerian Kewangan selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan PB3.1.
“Selain itu KPM juga mengenal pasti Pusat Kegiatan Guru (PKG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran untuk dijadikan penempatan sementara kepada 256 pelajar Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau pada Sesi Kamar Khas Persidangan Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam soalannya, Madius meminta penjelasan mengenai status bangunan SMK Tamparuli yang masih dibenarkan untuk beroperasi walaupun diisytiharkan tidak selamat.
Katanya, laporan pemeriksaan JKR Sabah pada Julai lalu mendapati bangunan Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT mengalami kerosakan yang serius dan tidak selamat untuk diduduki.
Katanya, sekolah itu turut mengalami kerosakan besar selepas dilanda ribut pada 18 September lalu yang menyaksikan sebahagian bumbung sekolah itu musnah diterbangkan angin.
Kah Woh berkata, KPM sudah menyalurkan peruntukan bencana sebanyak RM190,000 kepada JPN Sabah pada 25 September lalu bagi menangani kerosakan bumbung SMK Tamparuli.
“Buat masa ini, kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijangka selesai pada tahun semasa.
“Untuk makluman, dalam Rolling Plan 4 Tahun 2024 Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12) KPM, projek Pembinaan Blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) telah diluluskan merangkumi lima bilik darjah dan dua bengkel kemahiran serta kemudahan-kemudahan lain mengikut piawai di SMK Tamparuli.
“Kerja awalan projek iaitu kerja ukur dan kerja siasatan tanah (SI) telah selesai dan buat masa kini JKR Sabah sedang menyediakan reka bentuk terperinci untuk pembinaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi langkah jangka masa panjang pula, KPM melalui JPN Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian SMK Tamparuli dalam Rolling Plan 1 Tahun 2026 RMKe-13.
“Kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada agensi pusat dan keutamaan serta kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya. – Info X