LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari lokan sejak dua hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan anggota badan tidak sempurna dipercayai akibat dibaham buaya di Kampung Tulibas Baru, di sini, hari ini.
Mangsa, Selesion Appang, 39, ditemukan penduduk kampung di dalam sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi topinya dijumpai, pada jam 3.06 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 10.32 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa keluar dari rumah pada 23 September lalu untuk mencari lokan di sungai berhampiran, namun tidak pulang dan gagal dihubungi.
“Ahli keluarga yang melakukan pencarian awal menemukan topi mangsa di kawasan muara sungai berhampiran pantai, manakala peralatan mencari lokan iaitu pencakar turut ditemukan di dalam sungai.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan bersama beberapa agensi dengan pencarian dilakukan di sepanjang tebing sungai serta permukaan air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sumsoa berkata, penduduk kampung yang turut menyertai operasi kemudian menemukan mangsa di dalam sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi topinya ditemukan.
“Ketika ditemukan, mangsa sudah meninggal dunia dan keadaan tubuhnya tidak sempurna dipercayai akibat dibaham buaya.
“Pasukan penyelamat kemudian mengeluarkan mangsa dari sungai sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, operasi membabitkan empat anggota BBP Lahad Datu dan dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat selain dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 30 penduduk kampung.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.45 petang selepas dipastikan tiada lagi tindakan lanjut diperlukan di lokasi. – Info X