Search

Keluar makan sambut hari jadi berakhir tragedi

September 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang daripada empat lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Sepanggar awal pagi hari ini, difahamkan keluar bersama rakannya untuk makan sempena sambutan hari jadinya.

Ryanniel Robin, 23, sebelum itu memaklumkan kepada keluarga mahu keluar makan bersama rakan, namun tidak memberitahu lokasi yang dituju.

Ryanniel disahkan antara empat lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar.

Turut maut ialah Nicholas Thomas, 24; Axelord Nigel Alexander, 21, dan Junior Allyson A Julius, 20.

Dalam perkembangan sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu lelaki berusia 23 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah lori Isuzu NPR dan Perodua Aruz.

“Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terdorong ke hadapan lalu menghimpit sebuah van Nissan Urvan sebelum van itu melanggar Proton X50.

“Keempat-empat mangsa yang berada di dalam Perodua Viva tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat semua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X